Sunday, April 13, 2008

Najib, Muhyiddin atau Ku Li? Anwar????

Apakah teori RAHMAN akan menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat ini apabila kita menyaksikan pucuk kepemimpinan negara diserahkan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak? Ataupun mungkinkah ada saingan oleh pemimpin lain untuk mencabar kedudukan tersebut?

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah sudah awal-awal lagi menyatakan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden UMNO dalam usaha menyelamatkan parti berkenaan daripada terus tenggelam dalam arus politik perdana. Kita juga sedia maklum bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak memadamkan impiannya untuk menjadi teraju pemimpin negara.

Terbaru, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia berkata, UMNO perlu laksanakan perubahan kepemimpinan dalam kadar segera ATAUPUN berhadapan dengan kemungkinan hilang kuasa. Justeru, apakah mesej tersirat yang cuba disampaikan oleh beliau? Adakah ini bermakna beliau juga akan menyertai saingan untuk jawatan keramat dalam UMNO? Mungkinkah kita menyaksikan saingan tiga penjuru?

Apa pun, sekiranya desas-desus yang dinyatakan dalam blog-blog tertentu terbukti benar, teori RAHMAN yang dibangkitkan selama ini mungkin berubah menjadi RAHMAT, RAHMAM ataupun RAHMAA. Bagaimanapun, ini semua hanyalah spekulasi semata-mata.


R = Tunku Abdul Rahman

A = Abdul Razak Hussein

H = Hussein Onn

M = Mahathir Mohamad

A = Abdullah Ahmad Badawi

N/M/T/A = Najib? Muhyiddin? Tengku Razaleigh? Anwar?

Apa pun, dalam keghairahan kita meneliti perkembangan politik UMNO, adalah penting untuk semua ahli parti termasuk parti komponen BN mengambil inisiatif untuk mengukuhkan kembali perpaduan dalam BN. Dengan kekalahan buruk pada PRU ke-12 masih segar dalam ingatan, adalah mustahak jika BN perlu mencanangkan satu pelan bertindak bagi mengembalikan keyakinan pengundi terhadap pendekatan kepolitikan BN.

Ambil iktibar di sebalik penolakan pengundi Melayu, Cina dan India terhadap BN. Jangan pandang remeh terhadap penolakan ini dan barangkali jika punca kekalahan ini tidak ditangani segera, BN bakal menghadapi lebih banyak kesukaran. Jika dibandingkan dengan Pakatan Rakyat, sudah semestinya track record yang dimiliki BN adalah jauh lebih baik.

Akan tetapi, track record yang cemerlang ini tidak boleh dijadikan sebagai sandaran semata-mata oleh BN untuk terus bermegah. Dengan trend pemikiran pengundi berbeza-beza ekoran perkembangan teknologi internet dan penggunaan meluas blog-blog, pengundi sekarang tidak mudah untuk digula-gulakan.

Sehubungan itu, BN perlu merobah dan 'reinvent' kepolitikan mereka bagi memastikan ia terus relevan dalam kancah politik semasa. Masa itu emas dan ia tidak akan menunggu sesiapa. Gagal berbuat demikian mungkin akan meletakkan BN dalam keadaan yang lebih sukar.

Renung-renungkanlah!

No comments: