Friday, April 18, 2008

Pak Lah...pemimpin yang gentleman!

PENGUMUMAN Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam untuk menubuhkan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman dan pemberian ex-gratia kepada enam bekas hakim kanan yang dipecat dalam krisis kehakiman pada 1988 dilihat sebagai kesediaan dan komitmen kerajaan pimpinan Pak Lah untuk memulakan lembaran baru dalam sistem kehakiman negara.

Pak Lah telah mengambil keputusan yang tepat untuk mengembalikan kepercayaan dan keyakinan orang ramai serta masyarakat antarabangsa terhadap kredibiliti sistem kehakiman negara ini yang sejak kebelakangan ini dilanda pelbagai krisis. Pada ketika begitu ramai sekali pihak yang mendesak Pak Lah untuk berundur dari persada kepemimpinan, barangkali rakyat Malaysia dan barisan peguam negara boleh menganggap Pak Lah sebagai pemimpin utama yang berani untuk memulih dan meletakkan sistem kehakiman di tahap yang sepatutnya.

Bukan mudah untuk mengakui terdapat ketidakadilan yang dikenakan ke atas hakim-hakim kanan tadi, namun Pak Lah telah membuktikan, beliau seorang yang gentleman dan bukan seorang pendendam. Inilah perwatakan seorang pemimpin yang wajar diberikan pujian walaupun stail kepemimpinan dipertikaikan oleh pihak-pihak tertentu. Malah, berapa ramaikah pemimpin politik di negara ini yang sanggup mengakui kelemahan diri dan bertekad untuk membaikinya? Sekali bilang, tidak banyak malah tidak keterlaluan untuk mengatakan, hampir tiada.

No comments: